Sunday, September 23, 2012

362. Kenapa Mesti

Hati ralat mengakui hakikat
hati mahu menafikan kenyataan
mahu menukarkan kebenaran
mahu diubah ketentuan
seberat hati menerima
namun takdir tidak dapat disanggah.

(Kenapa mesti dia, persoalan yang hanya Allah mengetahui)
18.04.2011

Thursday, September 20, 2012

361. Ingatkan Selalu..

Diselubungi suatu ingatan yang tak pernah sudah
berpaut pada harapan dan impian hidup
digenggaman atau berciciran
walau sepantas berlari tak akan mampu mengejar
walau diam membatu tak akan terlunas dibayar

Setiap kebenaran ada kepalsuan
setiap kenyataan ada ilusi
apakah peranan dan tangungjawab diri?
membuat pilihan . . . mengakui ketentuan
akan tiba ketika yang dinanti
usah bergelut dengan masa
usah bergegas dengan angan-angan
mahu dipersendakan lagi?

Dimana kesedaran diri
kemana keteguhan jiwa
akal mencari makna
jangan leka untuk meminta
jangan cepat putus asa
semua kan kembali sedia kala
ingatkan selalu..

13.04.2011

Tuesday, September 18, 2012

360. Sudahnya

Andai dikenangkan waktu yang berlalu
dapatkah diulang saat indah itu
dan lebih baik dibiarkan begitu
tiada rasa yang keliru

Andai diingatkan waktu yang telah tiada
tak mungkin dapat diulangkan mesra yang serupa
hanya menjauhkan hati pada yang haknya
menjarakkan masa pada yang menyapa

Ingin dibawa pergi rasa ini, tapi kemana tujuan
ignin ditinggalkan, masih tak keruan
dan bagaimana harus diputuskan rasa yang telah hampa

Seandainya dapat diulangi getar ketika itu
tidak akan pernah melalui sepertinya
kesilapan yang lalu dijadikan tanda
untuk dimulakan cerita seterusnya.

40.04.2011

Monday, September 10, 2012

359. Mata

MATA, lelaplah
aku perlukan istirehat jiwa

MATA, pejamkan kenangan kemarin
aku perlu temukan ketenangan memulakan hari

MATA, tutuplah bimbangku dengan kegelapan malam
selimutkan aku kedamaian untuk esok

Dan MATA, pintu segala perasaan
jernihkan semua tanggapan
agar dapat ku melihat kebesaran

Tidurku lena malam
jagaku sedar siang
tiada mimpi
tapi ada kenyataan.

05.04.2011

Wednesday, September 5, 2012

358. Kalam

Kembali ingatan pada ketika dulu
menayangkan saat suka duka bersama
mereka yang singgah berteduh dihati

Selepas hujan derita reda
pulanglah mereka meninggalkan sepi yang bukan kepalang

Namun detik-detik berakhir kesunyian
kudiamkan dengan penerimaan
yang datang dikirimkan ujian
yang pergi meninggalkan pengalaman
sedang aku kekal disitu sebagai penunggu
dan sehingga akhir kalam
aku tetap disitu
dibawah naungan takdir

28.03.2011