Monday, May 23, 2011

151. Persoalan pada rindu

Lama benar, kita bicara tidak dengan pena dan sutera. Masih bercetakkah ingatan dan kenangan untuk kesah kelmarin atau luput dimamah usia masa yang kian menua atau hilang dicelah sinar harapan baru yang bersimbah. Betapapun tingginya dibawa terbang, ke tanah jua akhirnya.

Apakah masih tertinggal sisa gembira, tertimbulkah tunggul ketika, bersama duka. Diarus yang mendapang… masih tersimpankah dayung untuk bersampan atau telah karam sampan bersama gelombang rasa yang telah dibawa atus waktu.

Pastikah ada hidangan menunggu pada jemputan tanpa undangan ini atau tinggal sisa pada semut dan serangga melata. Masihkah terhidu harumnya nama ikatan pada kita-kita ketika itu. Atau deria baumu tertampan hingus lupa, alpa dengan kira-kira manusia.

Masihkah terngiang-ngiang ditelinga suara dari kerongkong jiwa yang meronta. Masihkah tertayang cereka semalam walau layar dimakan bubuk, walau layar dilusuh simpan. Adakah tertayang tengah malam sehebat tayangan filem hebat dipawagam-pawagam realiti. Atau tiket tak laku lalu pawagam ditutup sepi dari kenangan jiwa.

Mampukah lagi untuk mengulangi pekara lama selama ini. Mampukah mempertahankan gunung yang selama ini teguh kini terhakis dengan hujan yang tak mahu reda. Hujan pada kemarau rindu. Hujan yang kadang-kadang membinasakan.

Kalau masih ada,
Kalau masih menghijau igatan
Kalau masih segar kuntuman rasa
Kalau masih harum bunga jiwa
Kalau masih, (Alhamdulillah) syukurlah.
Bersambunglah cerita semalam
Melayangkan angin harapan
Pada satu dunia baru
Kita cipta cerita
Kita masih seperti dulu

Untuknya persahabatan
1998

No comments:

Post a Comment